Monday, October 26, 2009

Taubat Seorang Hamba

Thursday, October 15, 2009

Isu Pendidikan Anak-anak

Menakut-nakutkan anak telah menjadi satu budaya dalam masyarakat kita. Ini diwarisi turun temurun. Malah anak-anak memang diajar untuk takut pada sesuatu sejak kecil lagi.

Bagaimana Ibu Bapa Harus Mendidik Anak-anak

Potensi untuk berani bertindak sudah ada pada diri anak-anak sejak dilahirkan lagi. Oleh itu, dalam perkembangan anak-anak tidak sepatutnya kita mengamalkan pendidikan yang salah . Biarpun hakikatnya tindakan itu adalah kerana sayang pada si anak atau supaya anak dapat mematuhi perintah atau juga untuk menghentikan tangisan si anak, kita janganlah terlalu menakut-nakutkan mereka. Sebagai contoh, kanak-kanak yang sensitive akan sering menangis dan merengek. Keadaan ini akan menimbulkan rasa marah pada ibu bapa dan mereka akan mengambil jalan pintas dengan menakut-nakutkan kanak-kanak itu dengan sesuatu agar mereka berhenti menangis. Tindakan ini tidak akan memberi apa-apa faedah kerana kanak-kanak itu hanyalah akan berhenti menangis kerana ‘takutkan’ sesuatu.

Ibu bapa seharusnya menggunakan teknik yang betuk untuk mengajar anak-anak. Mereka haruslah menerangkan pada anak-anak apakah yang perlu mereka takuti. Seeloknya mereka diberi pemahaman, atau jika perlu pengalaman agar mereka lebih faham tindakan mana yang betul dan mana yang salah dan merugikan diri sendiri. Jika mereka sudah memahaminya, tanpa dilarang mereka akan faham, dan tidak akan melakukannya lagi. Maksudnya sebagai ibu bapa kita harus pandai memilih cara yang terbaik. Andai kata kita terpaksa menakut-nakutkan mereka, berhati-hatilah kerana jika selalu dilakukan hal tersebut, kelak anak-anak akan menjadi seorang manusia yang manja dan penakut. Secara tidak langsung ia akan mematikan sifat ingin tahu mereka dan memadam kreativitinya. Seterusnya anak-anak kita akan membesar menjadi individu yang lemah imannya dan mudah dipengaruhi oleh perasaan yang bukan-bukan hingga menghalang kemajuan diri mereka. Didiklah anak-anak dari kecil menjadi seorang yang berdikari, bebas, berani, dan bertanggungjawab supaya dia percaya pada diri sendiri. Latihlah anak-anak untuk selalu bertanggungjawab terhadap apa yang dia lakukan. Tidak pernah takut untuk menghadapi situasi apapun. Ingat! Mendidik anak untuk takut kepada Allah adalah benteng segala kemungkaran.

Isu Undang-undang Islam

Di awal bulan mulia Ramadhan Malaysia digemparkan dengan isu pelaksanaan hukuman sebat ke atas seorang ibu berusia 32 tahun, Kartika Sari Dewi Shukarnor yang didapati bersalah oleh Mahkamah Syariah Pahang meminum arak di sebuah hotel di Cherating, Pahang. Pelbagai pihak memberikan maklumbalas yang berbeza, sementara media dalam dan luar negara pula menggembar-gemburkan isu ini hingga ianya menjadi satu polemik yang sensasi. Meminum arak oleh orang Islam, khususnya di khalayak ramai, adalah satu kesalahan yang dipandang berat oleh Islam. Justeru ia tertakluk di bawah Hukum Hudud. Namun itu tidak bermakna sistem hukuman di dalam Islam adalah zalim atau bertujuan menganiaya. Semangat sebenar undang-undang di dalam Islam ialah untuk mencegah kesalahan.

Meski undang-undang Syariah Pahang tidak mematuhi dengan tepat kehendak Syariah pada aspek jumlah sebatan untuk kesalahan meminum arak, peruntukan sedia ada adalah menghampiri Syariah. Di dalam kes ini, semua pihak perlu belajar erti hormat. Pertama, menghormati hak Kartika membuat pilihan untuk tidak mengemukakan rayuan. Kedua, menghormati tanggungjawab Mahkamah Syariah Kuantan untuk melaksanakan undang-undang.

Para sarjana hukum, walaupun ramai yang berpendapat kesalahan minum arak di bawah hudud, mereka berbeza pendapat pula tentang jumlah sebatan. Ini kerana al-Quran tidak menyebut hukumannya, cuma hadis ada menunjukkan dipukul empat puluh kali.Namun pada zaman Khalifah Umar al-Khattab r.a. beliau berbincang kadar hukuman tersebut, lalu beliau menerima pandangan �Abd Rahman bin al-'Auf untuk melaksanakannya sebanyak lapan puluh kali (lihat: Riwayat Muslim).Tindakan Khalifah Umar ini menyebabkan sarjana berbincang apakah hukuman untuk peminum arak ini hudud atau takzir (discretionary punishment)? Ini kerana jika ia hudud, sepatutnya, tidak ditambah. Apatahlagi, Nabi s.a.w semasa melaksanakan hukuman ini tidak pula menjelaskan apakah ia hukuman yang ditetapkan oleh Allah (hudud) atau ia hanya ketetapan pemerintahan berdasarkan kepada keperluan (takzir).Sebatan Islam sama sekali bukan untuk mencederakan, sekadar mengingat dan mengajar.

Isu Akidah Islam

Kesatuan Umat Islam hendaklah Berlandaskan Akidah

Umat Islam pada hari ini dihantui oleh perasaan takut dan terancam. Sungguhpun bilangan mereka di seluruh dunia sangat banyak namun mereka berpecah belah antara satu sama lain. Perpecahan ini telah menyebabkan umat Islam menjadi lemah dan tidak ditakuti oleh musuh. Oleh itu, Allah memerintahkan supaya umat Islam bersatu padu dan jangan berpecah belah sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah di dalam surah al-Imran ayat 103 yang bermaksud "dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada agama Allah (agama Islam), dan janganlah kamu berpecah belah; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan ( semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan diantara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka dengan nikmat Allah itu kamu menjadi umat Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka itu ( disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya". Dalam ayat ini Allah memerintahkan umat Islam supaya bersatu padu dengan berpandukan kepada akidah dan ajaran Islam dan jangan sesekali berpecah belah.Telitilah dengan mendalam ayat ini dan lihatlah kepada pemerintah Allah SWT yang memerintahkan umat Islam supaya meletakkan asas kepada kesatuan iaitu dengan berpegang teguh kepada agama kemudian barulah Allah menyebut mengenai kepentingan bersatu di atas prinsip tersebut. Pada hari ini kita banyak mendengar seruan-seruan supaya umat Islam bersatu dan jangan berpecah bekah, namun mereka tidak meletakkan asas kepada kesatuan tersebut. Umat Islam adalah umat yang bersatu padu dengan kiblat yang satu dan Tuhan yang satu.Setiap orang hendaklah berfikir dengan ikhlas dan jujur untuk kesatuan umat dan kebaikan seluruh manusia. Hakikat ini tidak akan tercapai kecuali dengan berpandukan ajaran-ajaran Islam. Renunglah firman Allah Taala dalam surah al-An'am ayat 153 yang bermaksud: "dan sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang merupakan jalan yang lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa". Intipati daripada ayat ini ialah sekiranya kita berpaling daripada jalan yang lurus maka kita tidak akan mendapati jalan yang lain yang boleh membawa kejayaan walhal hakikatnya kita akan berpecah-belah dan lemah. Maka pada saat itu kita berada dalam keadaan yang hina!. wallahu'alam

IsU EkOnoMi IsLaM

Ekonomi Semasa Umat Islam

Ekonomi adalah suatu aspek yang penting dalam menjana sesuatu bangsa atau negara.Jika dipandang dari perspektif Islam sendiri,ekonomi adalah salah suatu perkara yang amat penting dan ia boleh datang dari pelbagai sumber.Akan tetapi,umat Islam pada zaman sekarang ini amat lemah sekali dari sudut ekonominya.Ini berlaku kerana umat Islam sendiri tidak mengambil berat tentang hal ini. Jika diimbas kembali ekonomi umat Islam pada zaman kegemilangannya,ekonomi ketika itu adalah amat kukuh dan teguh.Pada zaman pemerintahan Rasulullah s.a.w dan Khulafa' Ar-Rashideen,ekonomi pada zaman itu adalah amat kukuh sehinggakan wang perbendaharaan negara iaitu Baitulmal adalah amat banyak sehingga dikatakan wang Baitulmal itu boleh menampung dan menyara setiap rakyatnya.Sumber kewangan Baitulmal adalah daripada kutipan Zakat dan Jizyah(wang yang dibayar oleh orang kafir kepada kerajaan Islam kerana tinggal didalam negara Islam dan mendapat perlindungan daripada kerajaan Islam).Ini berlainan dengan apa yang berlaku di Malaysia sekarang.Rakyat dibebani dengan berbagai-bagai jenis cukai contohnya cukai pintu,cukai tanah,cukai jalan dan bermacam-macam lagi.Ini ditambah dengan wujudnya barang yang dikenakan cukai yang melampau contohnya kenderaan import,dikenakan cukai sehingga 200%.Selain itu,sedar atau tidak setiap barang-barang keperluan harian kegunaan rakyat dikenakan cukai sebanyak 5%.Rakyat dibebani dengan pelbagai cukai, tetapi kebajikan mereka tetap tidak terbela.

Jika dipandang dari sudut global pula,umat Islam telah lama diserang ekonominya oleh orang kafir.Pada tahun 2003,Amerika Syarikat telah menyerang Iraq atas alasan ia adalah negara pengganas.Akan tetapi tujuan Amerika Syarikat adalah untuk mendapatkan sesuatu yang amat bernilai di Iraq iaitu simpanan minyak mentahnya.’NEGARA PENGGANAS’ itu cuma propaganda Amerika Syarikat untuk menghalalkan perbuatannya menyerang Iraq.Berlainan pula dengan apa yang berlaku di Palestin pada tahun 2006,selepas umat Islam di Palestin mendapat hak ke atas negara mereka sendiri dengan diterajui oleh Hamas. Amerika Syarikat bersama sekutu-sekutunya iaitu Israel dan Kesatuan Eropah mula mengadakan sekatan ekonomi ke atas mereka.Barang-barang keluaran Palestin tidak dapat dieksport sehingga tersadai di pelabuhan. Inilah diantara contoh serangan dan sekatan orang-orang kafir terhadap ekonomi umat Islam.Umat Islam adalah seperti barang mainan mereka,boleh diperlakukan dengan sesuka hati sahaja. Umat Islam berpecah belah serta mudah dipermainkan oleh musuh Islam. Oleh itu,marilah kita sama-sama merenung keadaan umat Islam dan juga ekonomi umat Islam khususnya.

Sunday, October 11, 2009

Isu Ilmu-Ilmu Islam

AL-LAQIT
  • Laqit bermaksud kanak-kanak yang dibuang di jalan atau dimana-mana tempat dan tidak ada sesiapa yang mengakuinya sebagai anaknya. Mengambil anak angkat adalah disyariatkan berdasarkan kepada Firman Allah: "dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seseorang seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia kesemuanya" (al-Maidah: 32)
  • Sesiapa terjumpa seorang anak kecil yang tidak mempunyai penjaga di jalan, dia perlu mengambil, menjaga dan mendidiknya. Perkara ini menjadi fardhu kifayah kepada sesiapa yang menjumpainya. Apabila dia tidak diendahkan oleh sesiapapun dan masih berada ditempat dia dijumpai, semua penduduk di negeri, daerah atau kampung itu yang mengetahui kewujudan kanak-kanak tersebut akan berdosa. Jika salah seorang penduduk mengambil, menjaga dan mendidik anak tersebut, kesemua penduduk terselamat daripada dosa.
  • Allah SWT telah meletakkan tanggungjawab menjaga dan mendidik anak-anak terbuang pada kedudukan yang begitu utama dan penting. Semua orang Islam berdosa jika mereka mencuaikan tanggungjawab memelihara anak terbuang walaupun seorang. Negara juga berdosa jika mereka tidak memberikan perhatian kepada perkara itu, dan tidak cuba menggantikan kasih sayang ibubapa yang hilang terhadap anak terbuang semaksimum mungkin. Islam juga mewajibkan negara berhutang dengan orang-orang Islam yang kaya jika negara miskin dan tidak ada cara lain untuk memberi nafkah kepada mereka.

Saturday, October 10, 2009

Isu Penghayatan Islam

TALKIN SYAHADAH
  • Kematian adalah suatu yang pasti dihadapi oleh setiap manusia,samada seseorang sudah bersedia atau tidak. Firman Allah SWT yang bermaksud "katakanlah, akan diambil nyawa kamu oleh malaikat maut yang ditugaskan buat kamu, kemudian kepada Tuhan mu kamu akan kembali" (as-Sajdah: 11)
  • Saat menghadapi sakaratul maut adalah detik yang amat kritikal kepada orang yang akan dicabut nyawanya. Hayat penghabisan itu bakal menentukan menentukan samada seseorang itu mati dalam iman atau mati sebagai seorang yang kufur. Sehubungan dengan itu, ajaran Islam telah menerangkan kepentingan talkin syahadah itu mengajar kalimah tauhid kepada orang yang berada dalam keadaan sakaratul maut (nazak).
  • Ketika nazak para malaikat akan datang memberitahu tentang terputusnya kelazatan dan kenikmatan hidup dan dalam masa yang sama, iblis dan syaitan juga berkeliaran mencari peluang memalingkan hati dan menghasut serta memperdaya manusia supaya tergelincir imannya dan seterusnya menjadi calon penghuni neraka seperti mereka.
  • Maka di sinilah pentingnya peranan kerabat terhampir pesakit mengajar dan mengulang-mengulang serta membisikkan kalimah syahadah supaya tidak lekang dari mulut hingga saat hembusan nafas terakhir.
  • Menurut Imam al-Ghazali, kepentingan kalimah syahadah ini dibisikkan ke telinga pesakit yang nazak ialah supaya ia menghabiskan hayatnya dalam keadaan hatinya tidak mengingati perkara lain kecuali Allah Tuhan Yang Esa, maka melalui kematian itu dia akan mencapai nikmat tertinggi dalam perjalanannya menuju Allah.

Thursday, October 8, 2009

Isu Pembinaan Keluarga Islam

Dalam keghairahan negara untuk mencapai matlamat pembangunan bangsa yang maju dan dinamik yang bersendirian kepada pembangunan sains dan teknologi, tidak dapat dinafikan akan berlaku kesan-kesan sampingan atau pengaruh–pengaruh negatif dari budaya asing yang boleh merosakkan anak muda, mengugut kestabilan dan kecemerlangan bangsa. Gejala mungkar yang berlaku dalam masyarakat hari ini terutama di kalangan muda mudi seperti pergaulan bebas, penyalahgunaan dadah, mencuri, malas dan sebagainya adalah di antara bukti yang jelas terhadap perlunya peranan yang mesti dimainkan oleh ibu bapa. Satu hal yang menjadi keyakinan umum bahawa kebajikan seseorang insan adalah berpunca daripada sistem kekeluargaan yang berlandaskan agama. Darinya akan mewujudkan sebuah masyarakat yang berbudi dan berbudaya mulia yang akhirnya akan membentuk satu sistem sosial yang mantap dan dapat menghadapi pelbagai arus cabaran.

TIPS MEMBINA SEBUAH BAYT AL-MUSLIM YANG CEMERLANG (Rumahku Syurgaku)
  • Solat berjemaah bersama samada di masjid atau di rumah
  • Makan makanan yang halal lagi baik dan berkualiti
  • Membaca buku-buku ilmiah
  • Imej yang kemas dan tidak selekeh
  • Mementingkan ikatan yang erat antara keluarga
  • Membudayakan bahasa arab/inggeris di rumah
  • Car-Pool
  • Sentiasa membaca al-Quran dan biasakan mulut dengan Al-Quran
Rumahku Syurgaku adalah satu wawasan Islam yang berteraskan ajaran yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Rumahtangga sebagai satu komponen utama dalam pembentukan sesebuah masyarakat mesti disempurnakan melalui piawai yang sesuai dengan ajaran Islam dan keperluan rohani dan jasmani manusia.

Isu Penuntut Islam IPT

Isu Murtad
  • Heboh diperkatakan tentang bilangan orang melayu yang beragama Islam telah ramai yang murtad. Mufti Perak iaitu Dato' Harun Sani telah mendedahkan bilangan yang murtad sehingga ke hari ini mencapai angka puluh ribu.
  • Persoalannya, apakah puncanya terjadi perkara ini? Pengaruh persekitaran, pergaulan bebas, kurang didikan agama, kurang perhatian ibu bapa dan miskin adalah punca menyebabkan berlakunya murtad dikalangan umat Islam, terutamanya remaja dan termasuklah penuntut-penuntut Islam IPTA dan IPTS.
  • Jika kita lihat keadaan di Malaysia, rakyat disogokkan dengan unsur-unsur hiburan yang terlalu banyak. Malaysia dikatakan sebagai negara Islam tetapi adakah layak sebagai negara Islam mempunyai tempat perjudian yang terbesar dia Asia Tenggara, mempunyai kelab-kelab malam yang diberi lesen oleh pemimpin-pemimpin Islam sendiri, kononnya ia adalah untuk rakyat yang bukan beragama Islam. Alasannya kita adalah masyarakat majmuk, perlu bertolak ansur. Statistik menunjukkan terdapat golongan pelajar tidak kira peringkat menengah atau IPTA dan IPTS yang terlibat sama dalam isu murtad ini. Malah ada persatuan yang memberi sponsor bagi usaha untuk memurtadkan golongan pelajar ini.
  • Jika golongan muda terutamanya yang menuntut di IPTA atau IPTS yang diharapkan untuk memimpin negara pun sudah rosak, maka adakah kita mampu mencapai kemajuan yang dicanangkan oleh pemimpin kita? dan akan adakah lagi bangsa melayu Islam di negara Malaysia? Allah berfirman dalam surah al-Baqarah 217 yang bermaksud "barangsiapa yang murtad di antara kamu daripada agamanya, lalu dia mati sedang dia kafir, maka amalan mereka itu terhapus di dunia dan diakhirat dan mereka itu penghuni neraka, sedang mereka kekal di dalammya".
  • Jika kita tidak berusaha untuk menyelamatkan akidah saudara-saudara kita, siapa lagi yang akan menyelamatkan mereka. mereka yang terlibat mungkin mempunyai masalah-masalah yang kita sendiri tak ketahui puncanya kerana kita tidak cuba untuk mendekati mereka.Oleh itu sedarlah wahai sahabat-sahabat,Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu mengubahnya sendiri.

Tuesday, October 6, 2009

Gempa Bumi di Padang,,

'kejadian gempa bumi di Padang jam 17:16 lihat al-Quran surah 17:16, susulan di Padang jam 17:58 buka al-Quran surah 17:58. Terjadi pada tgl/bln 30/9 al-Quran surah 30:9. Gempa di Jambi jam 8:52 lihat al-Quran surah 8:52'. Inilah SMS yang aku terima dari saudara tersayang (Norsyahirah Mohd) kira 4:27 PM..tanganku segera mencapai Kitab Suci al-Quran dan membelek helaian surah yang dimaksudkan sambil tanganku ligat menaip di laman web mencari berita tentang gempa bumi yang berlaku di Indonesia...Subhanallah

  • 17: 16 (surah al-Isra' -ayat 16) : Firman Allah "dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka kami perintahkan kepada orang yang hidup mewah di negeri itu (agar menaati Allah), tetapi bila mereka melakukan kedurhakaan di dalam (negeri) itu, maka sepantasnya berlakulah terhadapnya perkataan (hukuman Kami), kemudian Kami binasakan sama sekali (negeri itu)"
  • 30: 9 (surah al-Rum -ayat 9) : Firman Allah "dan tidakkah mereka bepergian lalu melihat bagaimana kesudahan orang-orang yang sebelum mereka ( yang mendustakan Rasul)? orang-orang itu lebih kuat dari mereka (sendiri) dan mereka telah mengolah bumi (tanah) serta memakmurkannya melebihi apa yang telah mereka makmurkan. Dan telah datang kepada mereka rasul-rasul mereka dengan membawa bukti-bukti yang jelas. Maka Allah sama sekali tidak berlaku zalim kepada mereka, tetapi merekalah yang berlaku zalim kepada diri mereka sendiri".
Informasi dari Badan Klimatologi, Meteorologi dan Geofisika, gempa 7,6 SR itu terjadi pada pukul 17.16.09 WIB, Rabu, 30 September 2009.(http://ridwanox.blogspot.com/2009/09/gempa-bumi-di-sumatera-barat-sumbar-76.html)
  • 17: 58 (surah al-Isra' - ayat 58) : Firman Allah "dan tidak ada suatu negeri pun (yang durhaka penduduknya), melainkan kami membinasakannya sebelum Hari Kiamat atau Kami siksa (penduduknya) dengan siksa yang sangat keras. yang demikian itu telah tertulis di dalam Kitab (Luh Mahfuz)"
  • 8: 52 (surah al-Anfal -ayat 52) : Firman Allah "(keadaan mereka) serupa dengan keadaan pengikut Firaun dan orang-orang yang sebelum mereka. Mereka mengingkari ayat-ayat Allah, maka Allah menyiksa mereka disebabkan dosa-dosanya. Sungguh Allah MahaKuat lagi sangat keras siksa-Nya"
hari ini gempa bumi kembali mengguncang wilayah Sumatera yaitu gempa bumi kembali menggoyang wilayah Jambi pada Kamis (1/10) pukul 08.52 WIB dengan kekuatan 7,0 Skala Richter.(http://yepiye.wordpress.com/2009/10/01/gempa-bumi-70-sr-kembali-mengguncang-jambi-menyusul-gempa-76-sr-padang-sumatera-barat-kemarin/) Mungkin ada yang telah mengetahui tentang perkara ini dan mungkin ada yang belum pun mengetahuimya. Bagi mereka yang sudah tahu akan perkara ini jadikanlah ia sebagai peringatan dan pengajaran, dan bagi mereka yang belum tahu, jadikanlah ia sebagai pengetahuan, peringatan dan pengajaran serta ambillah iktibar dari apa yang berlaku. Sesungguhnya kata-kata Allah itu semuanya benar,,Kitab Suci al-Quran itu benar,,dan ajaran yang dibawa Rasulullah juga adalah benar,,jadikan al-Quran & al-Sunnah serta ijmak para Ulama' sebagai pegangan hidup kita dalam menuju Redha Ilahi..Wallahua'lam Subhanallah,,,Insaflah wahai Hamba Allah.....

Isu Politik Islam

Siasah(politik) Islam
Dinamakan siasah syarak bermaksud memimpin keseluruhan manusia menurut kehendak pandangan syariah dan khilafah yang bertindak memelihara agama dan menguruskan dunia dengannya. Ahli siasah Islam ialah : "Orang Islam yang komitmen dengan Islam yang menyelesaikan urusan umat dari sudut pandangan Islam dan hukum syara'. Politik Islam merupakan suatu sistem pemerintahan dan pentadbiran negara yang berlandaskan kepada nilai-nilai agama. Politik Islam ini lahir daripada aspirasi Al-Quran dan As-Sunnah serta tidak melupai hukum-hukum yang telah diputuskan oleh ijmak sahabat dan juga ijtihad para ulama’. Politik Islam lahir daripada penghayatan seseorang individu itu terhadap agama Islam, yang mana ia berhubung kait dengan ketatanegaraan. Oleh sebab itulah di dalam Islam, politik tidak boleh dipisahkan dari agama. Teori politik Islam adalah berasaskan wahyu dan panduan daripada Allah SWT. Ia telah dilaksanakan sejak zaman pemerintahan Rasulullah SAW lagi. Kemudian disambung pula oleh khalifah-khalifah Islam selepasnya. Melalui perbahasan dan perlaksanaannya dalam sistem pentadbiran negara, teori politik Islam terus berkembang sebagai teori yang mantap dan terbukti keunggulannya dalam sejarah pemerintahan dan politik Islam. Menurut Alias Othman(1991) terdapat 6 asas politik Islam yg menjadi dasar/tapak binaan kepada sesebuah kerajaan/negara Islam iaitu:
  • Al-Hakimiah - Kuasa menentukan hukum hanyalah bersumberkan kepada apa yg telah ditentukan oleh Allah semata mata
  • Kebebasan - Islam menjamin kebebasan yg diperlukan oleh manusia demi kesejahteraan dan kebahagian hidup secara individu dan bermasyarakat
  • Persamaan - Persamaan status antara manusia sebagai makhluk ciptaan Allah
  • Keadilan - Islam mementingkan prinsip keadilan untuk kedamaian hidup manusia
  • Kesatuan - Asas penting untuk membentuk umat Islam sejagat
  • Syura - Kepentingan amalan syura dlm segala aspek kehidupan manusia
Yakinlah bahawa hanya sistem pemerintahan Islam sahaja yang dapat menyelesaikan segala masalah manusia.