Thursday, October 15, 2009

Isu Akidah Islam

Kesatuan Umat Islam hendaklah Berlandaskan Akidah

Umat Islam pada hari ini dihantui oleh perasaan takut dan terancam. Sungguhpun bilangan mereka di seluruh dunia sangat banyak namun mereka berpecah belah antara satu sama lain. Perpecahan ini telah menyebabkan umat Islam menjadi lemah dan tidak ditakuti oleh musuh. Oleh itu, Allah memerintahkan supaya umat Islam bersatu padu dan jangan berpecah belah sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah di dalam surah al-Imran ayat 103 yang bermaksud "dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada agama Allah (agama Islam), dan janganlah kamu berpecah belah; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan ( semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan diantara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka dengan nikmat Allah itu kamu menjadi umat Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka itu ( disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya". Dalam ayat ini Allah memerintahkan umat Islam supaya bersatu padu dengan berpandukan kepada akidah dan ajaran Islam dan jangan sesekali berpecah belah.Telitilah dengan mendalam ayat ini dan lihatlah kepada pemerintah Allah SWT yang memerintahkan umat Islam supaya meletakkan asas kepada kesatuan iaitu dengan berpegang teguh kepada agama kemudian barulah Allah menyebut mengenai kepentingan bersatu di atas prinsip tersebut. Pada hari ini kita banyak mendengar seruan-seruan supaya umat Islam bersatu dan jangan berpecah bekah, namun mereka tidak meletakkan asas kepada kesatuan tersebut. Umat Islam adalah umat yang bersatu padu dengan kiblat yang satu dan Tuhan yang satu.Setiap orang hendaklah berfikir dengan ikhlas dan jujur untuk kesatuan umat dan kebaikan seluruh manusia. Hakikat ini tidak akan tercapai kecuali dengan berpandukan ajaran-ajaran Islam. Renunglah firman Allah Taala dalam surah al-An'am ayat 153 yang bermaksud: "dan sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang merupakan jalan yang lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa". Intipati daripada ayat ini ialah sekiranya kita berpaling daripada jalan yang lurus maka kita tidak akan mendapati jalan yang lain yang boleh membawa kejayaan walhal hakikatnya kita akan berpecah-belah dan lemah. Maka pada saat itu kita berada dalam keadaan yang hina!. wallahu'alam

0 comments: